Thursday, July 11, 2013

Debarku Bertukar Gembira- Taddarus Garden Homes

Saya terpanggil selepas solat Tarawih semalam untuk bertadarus Al-Quran kerana saya  rasakan ada
kelainan dari Tadarus yang biasanya dilakukan. Ustaz Bakri menyatakan " kita akan bertadarus dengan target bukan untuk mengkhatamkan Al-Quran, tetapi untuk membetulkan bacaan, seorang dapat baca dua-tiga ayat pun jadilah, janji kita dapat diperbetulkan. Semalam saya pun tunggu, ingat dah tak jadi sebab tiada yang duduk dikeliling Al-Quran yang telah disusun oleh sahabatku Masalrol. Saya makan moreh dulu, dan sambil menunggu pencetus untuk memulakan Tadarus, saya membantu sahabatku Cikgu Yusri melipat tikar di tepi surau sehingga makin ramai yang pulang. Saya pun sahaja masuk ke surau semula, berjalan perlahan-lahan ke pintu keluar sebelah padang untuk pulang, sambil mengharapkan tadarus tersebut dimulakan.

Selangkah sebelum keluar, Ustaz Bakri bertanya "Tadarus malam ni jadi ke?". Kemudian kelihatan beberapa peserta duduk dan saya pun duduk bersama-sama, didalam hati agak berdebar-debar kerana ingin memperdengarkan bacaan yang tidak seberapa molek pada umur yang sudah lanjut, terasa macam temuduga debarannya.

Kami pun memulakan majlis dengan Ustaz Bakri memberi objektif Taddarus  dan  pesanan-pesanan  berguna dan betapa tingginya keistimewaan bertadarus dibulan Ramadhan. Beliau memulakan Surah Al-Baqarah dengan kami mendengar berhati-hati cara bacaanya, sambil mengaut ilmu. Sampai kepada peserta kedua, diperdengarkan bacaannya  dan diperhalusi dengan penambahbaikan oleh Ustaz dan sahabat-sahabat. Kemudian sampai giliran saya, memang agak berdebar.

Saya memulakan bacaan dengan sedikit bergetar, hasil dari debaran yang dirasai. Bila sampai ayat yang seterusnya, saya semakin berkeyakinan dan gementar semakin hilang. Keyakinan ini adalah bukannya disebabkan oleh bacaan saya yang baik, tetapi keyakinaan dan keberanian untuk ditegur bacaan saya tanpa berasa malu. Ini sebenarnya perasaan yang saya mahu sebab memang saya berasa malu sebelum ini untuk menyertai Taddarus di surau-surau lain di tahun yang lampau memandangkan peserta terdiri dari yang mahir dan saya yang tidak baik bacaannya tidak berani kerana merasakan (perasaan sendiri sebenarnya) saya akan menyebabkan objektif mengkhatamkan Quran menjadi lambat atau tidak tercapai. Selepas membaca kira-kira empat lima ayat dan bacaan saya diperbetulkan, bacaan dipindahkan kepada peserta seterusnya. Lega rasanya pada saat itu dan saya merasakan bertadarus bukanlah  sesuatu yang “menakutkan” untuk manusia kurang arif membaca Al-Alquran seperti saya, bahkan berasa puas dan seronok dengan pendekatan Taddarus di surau Garden Home yang dicintai.

Saya juga dapat merasakan malam itu, sebagai manusia biasa, sesiapa saja boleh melakukan kesilapan semasa membaca Al-Quran dan terkadang  kita yang tidak seberapa ini pun boleh memperbetulkan bacaan sahabat yang lebih pakar, bukan kerana siapa lebih baik, tetapi terkadang  yang mendengar bacaan lebih peka dari yang membaca Al-Quran, tanpa terasa akan teguran tersebut; Keindahan Taddarus sebenar.

Diakhir Taddarus, Ustaz Husni member ulasan berguna mengenai bacaan-bacaan dari peserta, memang menarik tadarus versi Garden Home ini saya doakan saya berkesempatan untuk menyertainya lagi.

Saya memohon maaf dari sahabat-sahabat dan memohon keampunan Allah jika nukilan saya ini ada cacat celanya, yang baik dari Allah, yang buruk dari saya sendiri, Allahuallam


Asni ,11-7-2013

No comments:

Post a Comment