Saya terpanggil selepas solat Tarawih semalam untuk
bertadarus Al-Quran kerana saya rasakan
ada
kelainan dari Tadarus yang biasanya dilakukan. Ustaz Bakri menyatakan
" kita akan bertadarus dengan target bukan untuk mengkhatamkan Al-Quran,
tetapi untuk membetulkan bacaan, seorang dapat baca dua-tiga ayat pun jadilah,
janji kita dapat diperbetulkan. Semalam saya pun tunggu, ingat dah tak jadi
sebab tiada yang duduk dikeliling Al-Quran yang telah disusun oleh sahabatku
Masalrol. Saya makan moreh dulu, dan sambil menunggu pencetus untuk memulakan
Tadarus, saya membantu sahabatku Cikgu Yusri melipat tikar di tepi surau
sehingga makin ramai yang pulang. Saya pun sahaja masuk ke surau semula,
berjalan perlahan-lahan ke pintu keluar sebelah padang untuk pulang, sambil
mengharapkan tadarus tersebut dimulakan.
Selangkah sebelum keluar, Ustaz Bakri bertanya "Tadarus
malam ni jadi ke?". Kemudian kelihatan beberapa peserta duduk dan saya pun
duduk bersama-sama, didalam hati agak berdebar-debar kerana ingin
memperdengarkan bacaan yang tidak seberapa molek pada umur yang sudah lanjut,
terasa macam temuduga debarannya.
Kami pun memulakan majlis dengan Ustaz Bakri memberi objektif
Taddarus dan pesanan-pesanan berguna dan betapa tingginya keistimewaan
bertadarus dibulan Ramadhan. Beliau memulakan Surah Al-Baqarah dengan kami
mendengar berhati-hati cara bacaanya, sambil mengaut ilmu. Sampai kepada
peserta kedua, diperdengarkan bacaannya
dan diperhalusi dengan penambahbaikan oleh Ustaz dan sahabat-sahabat. Kemudian
sampai giliran saya, memang agak berdebar.
Saya memulakan bacaan dengan sedikit bergetar, hasil dari
debaran yang dirasai. Bila sampai ayat yang seterusnya, saya semakin
berkeyakinan dan gementar semakin hilang. Keyakinan ini adalah bukannya
disebabkan oleh bacaan saya yang baik, tetapi keyakinaan dan keberanian untuk
ditegur bacaan saya tanpa berasa malu. Ini sebenarnya perasaan yang saya mahu
sebab memang saya berasa malu sebelum ini untuk menyertai Taddarus di
surau-surau lain di tahun yang lampau memandangkan peserta terdiri dari yang
mahir dan saya yang tidak baik bacaannya tidak berani kerana merasakan
(perasaan sendiri sebenarnya) saya akan menyebabkan objektif mengkhatamkan
Quran menjadi lambat atau tidak tercapai. Selepas membaca kira-kira empat lima
ayat dan bacaan saya diperbetulkan, bacaan dipindahkan kepada peserta seterusnya.
Lega rasanya pada saat itu dan saya merasakan bertadarus bukanlah sesuatu yang “menakutkan” untuk manusia
kurang arif membaca Al-Alquran seperti saya, bahkan berasa puas dan seronok
dengan pendekatan Taddarus di surau Garden Home yang dicintai.
Saya juga dapat merasakan malam itu, sebagai manusia biasa,
sesiapa saja boleh melakukan kesilapan semasa membaca Al-Quran dan
terkadang kita yang tidak seberapa ini
pun boleh memperbetulkan bacaan sahabat yang lebih pakar, bukan kerana siapa
lebih baik, tetapi terkadang yang
mendengar bacaan lebih peka dari yang membaca Al-Quran, tanpa terasa akan
teguran tersebut; Keindahan Taddarus sebenar.
Diakhir Taddarus, Ustaz Husni member ulasan berguna mengenai
bacaan-bacaan dari peserta, memang menarik tadarus versi Garden Home ini saya doakan saya berkesempatan untuk menyertainya lagi.
Saya memohon maaf dari sahabat-sahabat dan memohon keampunan
Allah jika nukilan saya ini ada cacat celanya, yang baik dari Allah, yang buruk
dari saya sendiri, Allahuallam
Asni ,11-7-2013